GRS jadi ‘rumah besar’, satukan kekuatan politik tempatan Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu terus memperkukuh kedudukannya sebagai ‘rumah besar’ yang menyatukan kekuatan politik tempatan bagi memastikan Sabah lebih stabil dan mampu bergerak ke hadapan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN)17 menunjukkan GRS bukan sahaja kekal sebagai gabungan utama kerajaan negeri, malah semakin mendapat sokongan.

Beliau berkata, penyertaan UPKO ke dalam GRS, selain kemasukan ahli, penyokong dan pemimpin baharu, membuktikan gabungan itu semakin menjadi pilihan pihak yang mahukan kestabilan politik serta hala tuju lebih jelas untuk Sabah.

“Proses pembinaan kekuatan GRS tidak terhenti selepas pilihan raya, sebaliknya terus berkembang melalui penyatuan parti, penglibatan pimpinan baharu, pertambahan keahlian dan sokongan masyarakat.

“Dalam perkembangan politik semasa ini, GRS mampu menjadi rumah besar kepada penyatuan parti, pemimpin dan kekuatan politik tempatan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, konsep ‘rumah besar’ itu tidak bermaksud semua pihak perlu mempunyai pandangan sama dalam setiap perkara.

Sebaliknya, katanya, perbezaan pandangan perlu dibincangkan secara terbuka dan matang, manakala isu lebih besar seperti kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan kepentingan Sabah dijadikan agenda bersama.

Beliau berkata, Sabah ketika ini tidak memerlukan lebih banyak perpecahan politik, sebaliknya penyatuan kekuatan sedia ada supaya tenaga politik dapat digunakan untuk membangunkan negeri.

“Politik yang diperlukan Sabah ketika ini ialah politik yang menyatukan kekuatan, bukan menambah perpecahan; membuka ruang kerjasama, bukan memperbanyakkan sempadan antara kelompok.

“Sabah tidak kekurangan parti politik. Apa yang lebih diperlukan ialah penyatuan kekuatan politik yang sedia ada,” katanya.

Azrul berkata, kemasukan ahli dan penyokong baharu ke dalam GRS, khususnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta parti komponen lain, termasuk individu yang sebelum ini bersama pembangkang, perlu dilihat sebagai perkembangan politik yang lebih luas.

Katanya, ia menunjukkan semakin ramai melihat GRS sebagai wadah yang mempunyai hala tuju jelas, mampu menawarkan kestabilan dan membawa kepentingan Sabah dengan lebih berkesan.

“Politik tidak pernah statik. Sokongan rakyat boleh berkembang apabila mereka melihat kestabilan, prestasi dan kesungguhan sesebuah kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan UPKO dalam GRS serta sokongan parti lain dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kepada Kerajaan Negeri turut memperlihatkan pentadbiran pimpinan GRS mempunyai asas sokongan lebih luas.

Azrul berkata, kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur, peluang pekerjaan, pendidikan dan modal insan serta menyelesaikan isu asas rakyat.

“Jika terlalu banyak gabungan diwujudkan dengan asas berbeza, risiko berlakunya perpecahan sokongan dan persaingan sesama kekuatan tempatan menjadi lebih besar.

“Keadaan seperti ini akhirnya boleh mengulangi kitaran politik yang pernah dilalui Sabah, iaitu terlalu banyak perpecahan, perubahan sokongan dan ketidakstabilan yang menjejaskan kesinambungan pentadbiran serta perancangan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, GRS melihat penyatuan sebagai pendekatan lebih konstruktif dengan memberi ruang kepada setiap parti mengekalkan identiti dan kekuatan masing-masing, sambil mencari titik persamaan dalam agenda lebih besar.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), katanya, GRS perlu terus memperluas jaringan kerjasama serta membuka ruang kepada pemimpin, tokoh masyarakat dan rakyat yang berkongsi aspirasi membina Sabah lebih stabil, maju dan sejahtera.

“Pada akhirnya, kekuatan sesebuah gabungan bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi atau kehebatan naratif politik, tetapi melalui keupayaannya menyatukan kekuatan, membentuk kerajaan stabil dan bekerja untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya.