TAWAU: Seorang wanita warga Filipina mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencari langganan bagi maksud persundalan.
Tertuduh, Rheyanna Sapaula Mujal, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Mengikut seksyen berkenaan, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah belum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh hari ini berikutan prosiding dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan menetapkan 21 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun manakala tertuduh diwakili peguam Jhassery P Kang.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh hukuman.
Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh merupakan pemegang pasport dengan pas lawatan sosial atas jaminan suami yang masih sah sehingga 22 Februari 2027 ditahan dalam satu serbuan menerusi ‘Ops Noda’ di sebuah spa di Sabindo Square pada 9 Ogos lalu.
Dalam serbuan kira-kira 5.15 petang itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan tertuduh bersama seorang lelaki tempatan yang disyaki pelanggan.
Polis turut merampas beberapa barang bagi membantu siasatan sebelum tertuduh direman selama empat hari bermula 11 Ogos lalu.