KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun pendirian ADUN tunggalnya, Datuk Rusdin Riman, dilihat masih menyokong Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu, KDM melalui Rusdin yang merupakan ADUN Paginatan memberikan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Menurutnya, keputusan itu menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Sabah, bukannya parti komponen GRS.
“Pasca PRU DUN Sabah bulan November lalu, Parti KDM melalui ADUN tunggalnya memberikan sokongan kepada YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Keputusan tersebut menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, susulan pengumuman Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter mengenai penarikan sokongan parti itu terhadap GRS, beliau berkesempatan menghubungi Rusdin bagi mendapatkan perkembangan lanjut.
Katanya, Rusdin memaklumkan komitmennya ketika ini adalah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya selain memastikan kestabilan Kerajaan Negeri bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
“Beliau juga turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN Kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” katanya.
Terdahulu, KDM mengesahkan penarikan sokongan terhadap kerajaan GRS selain mengakui sedang mengadakan perbincangan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Warisan (Warisan) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hala tuju parti serta kepentingan memberikan isyarat jelas kepada rakyat dan akar umbi.
Dalam PRN Sabah tahun lalu, KDM memenangi satu kerusi DUN menerusi Rusdin di Paginatan.
Rusdin kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, seb