KDM sah tarik sokongan GRS, akui rundingan dengan STAR dan Warisan

PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengesahkan penarikan sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain mengakui sedang mengadakan perbincangan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Warisan (Warisan) bagi menghadapi PRU16.

Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira hala tuju parti serta kepentingan untuk memberikan isyarat jelas kepada rakyat dan akar umbi.

Menurutnya, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun perlu dilakukan lebih awal dan tidak hanya menunggu sehingga pilihan raya tiba.

“Keputusan ini sememangnya berat tetapi penting untuk menunjukkan kepada rakyat dan akar umbi yang kita mempunyai hala tuju.

“Bukan apabila pilihan raya tiba baru hendak bertindak,” katanya menurut Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, KDM mengakui terdapat perbincangan dengan STAR dan Warisan mengenai kemungkinan kerjasama politik bagi menghadapi PRU16.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini mendedahkan pada 9 Ogos lalu bahawa partinya sedang mengadakan perbincangan bersama STAR dan KDM berhubung kemungkinan membentuk pakatan.

KDM sebelum ini antara parti yang memberikan sokongan kepada pentadbiran GRS pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.

Pada PRN berkenaan, KDM memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Paginatan menerusi calonnya, Rusdin Riman.

Rusdin kemudian dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Perkembangan terbaharu itu dijangka memberi warna baharu kepada landskap politik Sabah, khususnya menjelang PRU16, susulan kemungkinan pembentukan kerjasama antara KDM, STAR dan Warisan.