Dakwaan 20 bahagian desak Redonah berundur adalah palsu – Wanita Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Penerangan Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menafikan dakwaan kononnya 20 bahagian parti itu mengemukakan usul mendesak Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda, supaya berundur daripada jawatannya.

Penerangan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, dakwaan itu adalah tidak benar dan tidak menggambarkan keadaan sebenar kepimpinan pergerakan itu.

Menurutnya, poster yang sedang tersebar menggunakan logo Sabah Info juga adalah palsu dan bukan bahan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap organisasi dan kepimpinannya,” katanya.

Dalam pada itu, Penerangan Wanita Gagasan Rakyat menambah bahawa pihaknya masih memerlukan kepimpinan Redonah untuk terus memperkukuh organisasi, menjaga kesatuan ahli serta memperkasa wanita di peringkat akar umbi.

Tambahnya, perbezaan pandangan dalam mana-mana organisasi adalah perkara biasa, namun tidak wajar dijadikan asas untuk mereka-reka cerita atau mewujudkan gambaran seolah-olah berlaku desakan besar-besaran terhadap kepimpinan.

Penerangan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat menegaskan, pergerakan itu kekal memberi tumpuan kepada perpaduan, kestabilan organisasi dan khidmat kepada rakyat, bukannya polemik yang bersandarkan maklumat tidak sahih.

Orang ramai turut diseru mendapatkan pengesahan daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat berkaitan organisasi dan kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat.