KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah 2026 bakal memberi tumpuan kepada golongan muda dengan penekanan terhadap usaha membina keyakinan diri, semangat nasionalisme dan kesedaran mengenai peranan mereka dalam menentukan masa depan Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pengisian sambutan pada tahun ini dirangka bukan sekadar untuk mengenang sejarah kemerdekaan, tetapi melihat ke hadapan dengan memberi ruang kepada generasi muda mengisi kemerdekaan.
Katanya, hampir keseluruhan pengisian sambutan Hari Sabah pada malam 31 Ogos memberi fokus kepada golongan muda, termasuk menerusi persembahan hiburan yang diselitkan mesej berkaitan keyakinan diri dan peranan mereka membina masa depan.
“Bila kita bercakap mengenai kemerdekaan, yang selalu pertama masuk dalam kepala kita ialah orang tua dan mereka yang sudah meninggal dunia.
“Namun bagi saya, selain melihat dan menulis ke belakang apa yang telah diperjuangkan oleh bapa-bapa dan ibu-ibu kemerdekaan, kita juga perlu melihat ke hadapan, apa yang perlu kita lakukan untuk mengisi kemerdekaan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi sidang media Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, di sini, hari ini.
Masidi menambah bahawa generasi muda Sabah perlu membina keyakinan bahawa mereka setanding dengan masyarakat lain di seluruh dunia serta tidak merendahkan kemampuan diri sendiri.
“Tidak ada apa yang salah dengan kita secara fizikal dan mental.
“Perbezaannya ialah sikap diri kita dan apa yang kita gunakan daripada anugerah Tuhan yang ada pada diri kita.
“Keyakinan diri perlu dibina. Kita sama taraf, sama tinggi dan sama hebat dengan bangsa lain di mana-mana juga di dunia,” tambahnya.
Masidi turut mengingatkan anak muda supaya tidak menjadikan pelbagai kekurangan atau cabaran yang dihadapi Sabah sebagai alasan untuk menguburkan cita-cita.
Tambah beliau, generasi hari ini perlu mengambil semangat serta iltizam tersebut sebagai asas untuk membina masa depan Sabah.
Beliau turut menggesa rakyat Sabah supaya lebih yakin dan berbangga dengan bakat tempatan, termasuk penyanyi Sabah yang berjaya mencipta nama di peringkat nasional.
Katanya, sambutan Hari Sabah bukan sekadar acara hiburan atau mengenang sejarah, sebaliknya menjadi wadah untuk membina ketahanan diri dan keyakinan generasi muda bahawa mereka juga mampu berjaya.
“Kebersamaan, satu bangsa, satu negara” turut menjadi antara mesej utama yang mahu diterapkan menerusi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.
Masidi berkata, semangat berkenaan perlu diterjemahkan kepada usaha dan kerja keras bagi memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan.
“Wawasan kita perlu cukup jelas dan kita tahu ke mana kita hendak pergi. Tetapi kita ada cermin sisi kerana sekali-sekala kita perlu melihat ke belakang dan mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku sebelum ini,” tambah beliau.