SEMPORNA: Padah memiliki barang kawalan tanpa permit, tiga lelaki didenda keseluruhan RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, dalam dua kes berasingan.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Mohammad Roli Aliman berkata, kes pertama membabitkan dua lelaki yang masing-masing didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah memiliki 1,496 kilogram minyak masak tanpa permit.
“Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan minyak masak yang disita dijadikan hasil kerajaan, manakala barang bukan kawalan diserahkan kepada pihak pendakwaan.
“Jika gagal membayar denda, kedua-duanya boleh dipenjara selama lapan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes kedua pula membabitkan seorang lelaki yang didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah memiliki 265 liter minyak petrol tanpa permit.
Katanya, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan petrol yang disita dijadikan hasil Kerajaan, manakala barang bukan kawalan diserahkan kepada pihak pendakwaan.
“Lelaki terbabit juga akan dipenjara selama lapan bulan jika gagal menjelaskan denda,” katanya.
Mohammad Roli berkata, kesemua tertuduh sudah menjelaskan denda masing-masing dan dilepaskan selepas prosiding di Mahkamah Tawau.
Katanya, kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Cawangan Semporna, PMP Zulkifli Baco.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi.
“KPDN Semporna tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang berkaitan kawalan bekalan,” katanya.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.