KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan memfailkan saman sivil dengan tuntutan melebihi RM2 bilion terhadap sebuah firma berkaitan audit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDBank).
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata tindakan berkenaan kini diserahkan kepada proses mahkamah untuk menentukan perkara selanjutnya.
Beliau berkata, tindakan itu membuktikan keterbukaan kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab.
“Saya ingat eloklah kita serahkan proses mahkamah untuk menentukan. Bagi Sabah, kita sudah memfailkan dan kita tunggu proses mahkamah seterusnya.
“Apa yang pasti, secara simboliknya ini menunjukkan keterbukaan Sabah, ‘nothing to hide’. Kalau orang berhutang dengan kita, kita saman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Masidi berkata, kerajaan negeri turut mengambil tindakan terhadap semua pemiutang SDBank tanpa mengira pihak yang terbabit sebagai sebahagian usaha memastikan pengurusan dana negeri dibuat secara berhemah.
“Bagi SDB, kita sudah menyaman semua pemiutang tidak kira siapa. Kita betul-betul serius untuk memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri dibuat bukan sahaja dengan baik, tetapi telus,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu juga diharap dapat membentuk budaya tadbir urus lebih baik dalam pengurusan khazanah dan kewangan negeri.
Katanya, kerajaan Sabah mahu memastikan setiap pihak yang mempunyai tanggungjawab kewangan terhadap negeri melaksanakan tanggungjawab masing-masing, selain tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran undang-undang.
Dalam perkembangan berkaitan, Masidi berkata perkembangan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah juga berada pada landasan positif.
Beliau berkata, mesyuarat induk berkaitan perkara itu dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos ini di Kota Kinabalu, yang dijangka turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin berkaitan.
Katanya, mesyuarat berkenaan akan menjadi kesinambungan kepada laporan jawatankuasa teknikal yang mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur bulan lalu.
“Kita ada mesyuarat seterusnya, mesyuarat induk pada 28 Ogos di Kota Kinabalu.
“Ia bagi menerima laporan jawatankuasa teknikal yang sudah diadakan di Kuala Lumpur pada bulan lalu. Statusnya so far so good,” katanya.