Minuman keras RM4.17 juta diikrar sebagai perabot, kastam bongkar taktik seludup di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Taktik mengikrarkan minuman keras sebagai barangan lain seperti perabot dan paip PVC antara modus operandi dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dalam cubaan menyeludup 190,080 liter minuman keras melalui Pelabuhan Sepanggar.

Dalam dua serbuan berasingan pada 10 dan 13 Ogos lalu, pasukan penguat kuasa JKDM Sabah berjaya membongkar sembilan kes melibatkan sembilan unit kontena yang dianggarkan bernilai lebih RM4.1 juta termasuk cukai.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, hasil risikanyang dijalankan membolehkan pihaknya mengesan kontena yang disyaki mengandungi minuman keras sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

“Serbuan pertama pada 10 Ogos membabitkan pemeriksaan terhadap enam unit kontena di Custom Examination Area (CEA), Pelabuhan Sepanggar.

“Hasil pemeriksaan awal menemukan sebanyak 118,800 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai keseluruhan RM2.68 juta termasuk cukai.

“Kontena berkenaan diikrarkan sebagai pelbagai barangan lain seperti perabot, generator set, paip PVC, kasut, tab mandi, bahasi dan mesin kimpalan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi sidang media JKDM Sabah, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, modus operandi itu dipercayai membabitkan pengikraran tidak benar bagi mengelakkan barangan sebenar dikesan serta mengelakkan pembayaran cukai yang sepatutnya.

Sementara itu, pemeriksaan kedua pada 13 Ogos pula membabitkan tiga unit kontena yang membawa sebanyak 71,280 liter minuman keras jenis bir pelbagai jenama dengan anggaran nilai RM1.49 juta termasuk cukai.

“Modus operandi yang dikenal pasti ialah penyalahgunaan saluran perdagangan yang sah dengan mengeksploitasi saluran import dan logistik pelabuhan bagi membawa masuk barangan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan kastam.

“Kesemua sembilan kes kini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya percaya terdapat sindiket yang terlibat dalam kegiatan berkenaan, namun siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada kesemua sembilan kes mempunyai kaitan dengan sindiket yang sama atau membabitkan sindiket berbeza.

“Buat masa ini, kita masih dalam proses mengenal pasti pihak yang terlibat termasuk siapa penerima sebenar barangan berkenaan.

“Kebanyakan mereka menggunakan alamat palsu dan orang yang tidak wujud bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, JKDM akan terus memperkukuh sistem pemprofilan risiko bagi memastikan semua barangan yang dibawa masuk melalui pelabuhan di Sabah mematuhi deklarasi serta peruntukan kastam.

“Kita tidak hanya memberi tumpuan kepada minuman keras. Apa sahaja barangan yang masuk akan kita pastikan ia sepadan dengan apa yang diikrarkan.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” ujar beliau.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) akta sama, hukuman bagi kesalahan pertama boleh melibatkan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM50,000, mana-mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda jumlah duti atau RM500,000, mana-mana lebih tinggi, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh dikenakan antara 20 hingga 40 kali ganda jumlah duti atau antara RM100,000 hingga RM1 juta, mana-mana yang berkaitan, selain penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan dadah kepada JKDM menerusi talian 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam berhampiran,” katanya.