KOTA KINABALU: Pengalaman melihat sendiri kekangan bekalan elektrik di kampung halaman menjadi pencetus kepada impian seorang penerima biasiswa Petronas, Jermaine Jeremih Joseph untuk bergelar jurutera elektrik untuk kembali berbakti kepada masyarakat di kampung halaman.
Pelajar berusia 18 tahun dari Penampang itu kini mempunyai laluan lebih jelas untuk merealisasikan impiannya selepas menerima Biasiswa Petronas, sekali gus membolehkannya melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektronik dan Elektrik di Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Jermaine berkata, kecenderungannya terhadap bidang berkenaan semakin kukuh selepas melihat keadaan di kampung halaman, khususnya berkaitan bekalan elektrik yang masih berdepan kekangan.
“Semasa pertama kali saya melawat Kampung Buayan, keadaan kampung tidak begitu baik kerana bekalan elektrik selalu ada kekangan.
“Kalau tiada hujan atau saliran sungai terhalang, kadang-kadang penduduk kampung tiada elektrik. Dari situ saya lebih terinspirasi sebab saya mahu memberi semula kepada kampung dan membantu meningkatkan kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah Biasiswa Petronas, di sini, pada Jumaat.
Tambah Jermaine, impiannya bukan hanya untuk membawa perubahan kepada Kampung Buayan, tetapi turut membantu komuniti luar bandar lain yang masih berdepan kekangan kemudahan asas di Sabah dan seluruh Malaysia.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, beliau menyasarkan untuk bekerja bersama Petronas selepas tamat pengajian dan membina kerjaya sebagai ‘Power Systems Engineer’.
“Saya mahu bekerja dengan Petronas selepas mendapat biasiswa ini. Saya mahu bekerja sebagai Power Systems Engineer dan saya mempunyai impian untuk mendapatkan gelaran Ir. (Jurutera Profesional) dan Ts. (Juruteknologis Profesional),” jelasnya.
Bagi Jermaine, Biasiswa Petronas bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya satu peluang dan amanah untuk beliau membina masa depan sebelum kembali menyumbang kepada masyarakat.
“Saya sangat teruja sebab saya dapat mengurangkan beban kewangan untuk meneruskan pembelajaran saya kerana ibu bapa saya masih menyokong adik-beradik yang lain,” katanya.
Kejayaan itu hadir selepas Jermaine melalui perjalanan yang mencabar dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam kokurikulum di SMK St. Michael Penampang.
Mengulas bagaimana dirinya mempunyai perubahan, Jermaine berkata, kesedaran mengenai kemampuan keluarganya untuk menampung kos pengajian menjadi pendorong kuat untuknya lebih fokus dan berusaha mendapatkan biasiswa.
“Saya mula fikir saya perlu fokus lagi, perlu lock in. Saya cuba melibatkan diri dalam lebih banyak pertandingan, kokurikulum dan peranan kepimpinan supaya dapat membina rekod yang baik untuk memohon biasiswa,” tambahnya.
Usaha itu membuahkan hasil apabila Jermaine dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum sekolah, selain mencatat keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kini, beliau bakal memulakan pengajian Foundation in Engineering and Science di UTP dan berhasrat ingin melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam Kejuruteraan Elektronik dan Elektrik di universiti sama.
“Dream big but work harder kerana biasiswa ini sebenarnya satu tanggungjawab yang perlu kita pikul.
“Ia bukan sahaja sokongan kewangan, tetapi satu peluang yang kita boleh gunakan untuk memberi semula kepada komuniti, terutama masyarakat luar bandar yang kurang mendapat kemudahan di Sabah,” katanya.
Menurut Jermaine, sama ada menerima biasiswa atau sebaliknya, impian untuk menjadi jurutera elektrik tidak pernah berubah.
“Sama ada biasiswa atau tidak, saya tetap akan teruskan impian saya,” ujarnya.
Kini, dengan Biasiswa Petronas sebagai langkah baharu dalam perjalanan pendidikannya, Jermain membawa satu impian yang lebih besar untuk pulang ke Sabah suatu hari nanti bukan sekadar sebagai seorang jurutera, tetapi sebagai anak kampung yang mampu membantu membawa perubahan kepada masyarakat yang pernah menjadi sumber inspirasinya.