Pesta dadah bawa padah, enam didakwa edar 659.16 gram ekstasi di Tawau

TAWAU: Pesta hari lahir yang bertukar menjadi pesta dadah membawa padah apabila enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, atas pertuduhan mengedar 659.16 gram dadah jenis MDMA atau ekstasi.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 20 hingga 39 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah inap mewah di Taman Nordin, Jalan Kuhara, di sini, pada 26 Ogos lalu.

Mereka ialah Lisyanti Ibrahim, Andi Moh. Arifai Tatta, Chang Vui Hiung, Sherlin Liew Zi Ling, Muhammad Haikal Daniel Azman dan Shazzreena.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka didakwa secara bersama mengedar MDMA atau ekstasi seberat 659.16 gram di rumah inap berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar berkenaan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam pertuduhan berasingan, kesemua tertuduh mengaku bersalah memiliki 1.16 gram ketamin mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison.

Terdahulu, kesemua tertuduh ditahan selepas polis menyerbu rumah inap berkenaan yang disewa bagi meraikan sambutan hari lahir.

Dalam serbuan itu, polis menemukan pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin, selain sekeping kad dan sebatang rokok yang mempunyai kesan dadah berkenaan.

Polis turut menemukan sebuah jag kaca mengandungi cecair berwarna oren yang disyaki mengandungi ekstasi.

Pesta yang sepatutnya menjadi ruang meraikan sambutan hari lahir itu akhirnya membawa keenam-enam tertuduh ke muka pengadilan.