TVET bukan lagi pilihan kedua, laluan anak Sabah penuhi keperluan industri – James

KOTA KINABALU: Persepsi bahawa pendidikan kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan kedua perlu diubah memandangkan tenaga mahir yang mempunyai kriteria diiktiraf industri mempunyai nilai tinggi dalam ekonomi semasa, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.

Menurutnya, TVET perlu terus diperkasa sebagai antara laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri di Sabah bagi sektor minyak dan gas, malah dalam bidang perkilangan, pembinaan, tenaga, pelancongan, pertanian moden, teknologi serta ekonomi digital.

“Kita mahu mengubah persepsi bahawa pendidikan kemahiran adalah pilihan kedua.

“Tidak, bukan lagi pilihan kedua. Dalam ekonomi hari ini, seorang tenaga mahir yang mempunyai kompetensi, disiplin dan pensijilan yang diiktiraf industri mempunyai nilai yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sabah 2026, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum PETRONAS, Datuk Bacho Pilong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan.

Menurut James, pembangunan TVET juga perlu bergerak seiring dengan keperluan sebenar industri bagi memastikan latihan yang diterima pelajar mempunyai kaitan langsung dengan peluang pekerjaan.

Katanya, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan latihan serta industri amat penting bagi membentuk ekosistem yang mampu melahirkan tenaga kerja Sabah yang kompeten dan bersedia menghadapi perubahan pasaran pekerjaan.

“Kerajaan menyediakan ekosistemnya. Institusi pendidikan dan latihan menyediakan bakat. Industri pula membuka ruang untuk mereka berkembang.

“Apabila ketiga-tiga pihak ini bergerak bersama, barulah kita dapat melahirkan tenaga kerja Sabah yang benar-benar memenuhi keperluan industri,” ujarnya beliau.

Dalam pada itu, James berkata, sokongan PETRONAS terhadap pembangunan kemahiran turut dapat dilihat menerusi Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) yang melatih 22 pelatih baharu dalam program Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan.

“Sabah sedang bergerak ke arah ekonomi yang lebih pelbagai. Kita memerlukan tenaga mahir bukan sahaja untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga dalam perkilangan, pembinaan, tenaga, pelancongan, pertanian moden, teknologi dan ekonomi digital,” katanya.

James berkata, kerajaan negeri mahu memastikan anak Sabah bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku di negeri ini, sebaliknya tampil sebagai tenaga penggerak ekonomi melalui penguasaan ilmu dan kemahiran.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembangunan modal insan kekal sebagai antara agenda utama kerajaan negeri kerana kemajuan infrastruktur dan pelaburan perlu disokong oleh rakyat yang berilmu serta berkemahiran.

“Kita boleh membina jalan, membangunkan kawasan industri, menyediakan infrastruktur dan menarik pelaburan.

“Tetapi semua itu perlu disokong oleh satu perkara yang paling asas iaitu rakyat yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai keupayaan untuk menggerakkan pembangunan tersebut,” tambah beliau.

James turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di Sabah, termasuk menyediakan peluang pendidikan serta latihan kemahiran kepada anak negeri.