JIWA@Komuniti platform perkukuh perpaduan, patriotisme, kebersamaan

TAWAU : Program JIWA@Komuniti platform perkukuh semangat perpaduan, patriotisme dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.


Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, program berasaskan pendekatan outreach itu turut menjadi platform mendekatkan kerajaan dengan masyarakat.


“Program seperti ini dapat memperkasakan rakyat dan mengeratkan hubungan kebersamaan antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyemarakkan semangat perpaduan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.


“Kita mahu program yang dilaksanakan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi turut menyemai rasa cinta kepada negara dan memperkukuh keharmonian dalam komuniti selain memastikan maklumat berkaitan inisiatif dan bantuan dapat disampaikan secara terus kepada komuniti.


“Penglibatan aktif masyarakat dalam program sebegini penting bagi memastikan semangat patriotisme dan perpaduan terus subur, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika ditemui media pada Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) di Kampung Muhibbahraya, di sini, pada Ahad.
Pada program itu, turut diselitkan penyampaian maklumat daripada pelbagai agensi yang turut mempamerkan perkhidmatan yang disediakan.

Antaranya, Pegawai Pengurusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Aminah Aming yang menyampaikan taklimat berkaitan internet selamat.


Selain itu, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Donovan Jolotah Mansah memberikan taklimat berkaitan perkhidmatan E-Kasih manakala Pegawai Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nizamleaa Abd Asa, mengingatkan tindakan-tindakan dan SOP yang dilakukan ketika berlaku kebakaran kecil di dapur rumah.


Pegawai Jabatan Alam Sekitar Cawangan Tawau, Mohd Zikri Ismail pula memberikan taklimat berkaitan tahap kesihatan udara berpandukan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mereka pantau secara berkala.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)