KOTA KINABALU: Suara dan kebajikan mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia, khususnya di Lembah Klang, perlu terus diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak berasa terpinggir atau dilupakan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya (PERMASA UM), hari ini.
Menurutnya, mahasiswa berkenaan turut mengemukakan beberapa isu yang dihadapi mereka termasuk berkaitan harga tiket penerbangan, penginapan pelajar serta peluang dan tajaan pendidikan.
“Sebahagian daripada perkara yang dibangkitkan telah saya sampaikan kepada Ketua Menteri untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya.
“Yang mustahak, suara mahasiswa perlu didengar kerana mereka berdepan kos sara hidup serta pelbagai cabaran sebagai anak Sabah, khususnya mereka yang menuntut ilmu jauh di luar negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrul berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sentiasa mengambil berat kebajikan pelajar Sabah menerusi pelbagai inisiatif pendidikan.
Katanya, antara bantuan diperkenalkan termasuk Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), bantuan sekali bayar kepada pelajar Sabah di luar negeri melalui GRS SubFly dan bantuan sekali bayar kepada pelajar dalam negeri menerusi SENTOSA.
“Kerajaan negeri juga melaksanakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), manakala peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) terus diperkasakan dengan peruntukan RM155 juta pada tahun ini.
“Pada masa sama, kerajaan negeri terus memperkemas dan menambah baik inisiatif sedia ada bagi memastikan kebajikan serta keperluan para pelajar terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri mahu memastikan anak-anak Sabah yang menuntut di luar negeri tidak merasakan mereka dilupakan.
“Apa yang boleh dibantu, kita bantu. Apa yang perlu diperjuangkan, kita perjuangkan bersama,” katanya.