KOTA KINABALU: Perjuangan mendapatkan dan mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bermaksud negeri itu mahu menjauhkan diri daripada Malaysia.
Sebaliknya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada langkah memperkukuh asas Persekutuan supaya hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan terus berteraskan keadilan, rasa hormat dan tanggungjawab yang dipersetujui bersama.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia.
“Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus konsisten memperjuangkan segala hak dan kepentingan Sabah berdasarkan MA63 melalui saluran perlembagaan, rundingan serta kerjasama antara kerajaan.
Menurutnya, MA63 dan Perlembagaan Persekutuan merupakan asas penting dalam membentuk hubungan Sabah dengan Persekutuan Malaysia.
“Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, makna 16 September kekal besar kerana negara ini dibina atas persetujuan, kepelbagaian dan tekad untuk bergerak bersama sebagai satu Persekutuan yang berdaulat.
Katanya, bagi Sabah, tarikh 16 September amat bermakna kerana ia melahirkan ikatan persaudaraan dalam kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan.
“Kekuatan Malaysia terletak pada keharmonian rakyatnya dan Sabah sendiri adalah contoh kekuatan yang lahir daripada kepelbagaian.
“Kita mesti terus memelihara budaya muafakat ini. Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi jurang yang memisahkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya lebih bijaksana menilai maklumat dalam era media sosial selain menolak fitnah dan sentimen yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Hajiji berkata, perpaduan perlu terus dipelihara kerana kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan dalam suasana aman dan bersatu.
“Perpaduan bukan sekadar slogan pada musim sambutan; perpaduan ialah prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita,” katanya.