TAWAU: Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini terus menjadi perhatian polis apabila dua lelaki tempatan ditahan dalam Op Tapis, semalam.
Dalam operasi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau merampas syabu seberat keseluruhan 0.37 gram daripada kedua-dua suspek.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dalam keadaan mencurigakan di sekitar kampung berkenaan.
Katanya, ketika pemeriksaan, suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.17 gram yang disimpan di dalam poket seluarnya.
“Dalam serbuan kedua pula, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kurnia Jaya.
“Suspek menunjukkan dua paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.20 gram yang berada di atas lantai rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine (METH) hasil ujian saringan awal air kencing.
Katanya, kedua-dua suspek bersama barang kes dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Daerah Tawau akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.