Bergelut selepas kakak kantoi curi duit adik di Tawau

TAWAU: Cubaan seorang wanita mengambil wang tunai milik adiknya terbongkar sebelum berlaku sedikit pergelutan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, di sini.

Wanita berusia 41 tahun itu bagaimanapun tidak sempat pergi jauh apabila ditahan polis kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum dimaklumkan ahli keluarga bahawa suspek dipercayai mengambil sejumlah wang tunai daripada dompet miliknya yang berada di dalam bilik tidur.

“Perbuatan itu disedari mangsa sebelum berlaku sedikit pergelutan antara mangsa dan suspek.

“Suspek kemudian melarikan diri keluar dari rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek juga dipercayai sering mengambil barang-barang berharga yang berada di dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, susulan laporan dibuat di Balai Polis Bombalai, sepasukan polis bertindak mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di perkarangan balai berkenaan.

“Suspek adalah wanita warga tempatan berusia kira-kira 41 tahun dan ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.