SANDAKAN: Sebanyak 28,000 liter minyak diesel dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam operasi membanteras kegiatan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah jeti di daerah ini, semalam.
Operasi yang dijalankan PPM Sandakan kira-kira jam 3.55 petang itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 28 tahun.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di lokasi terbabit.
Menurutnya, pasukan risikan kemudian digerakkan ke lokasi sebelum mendapati sebuah lori tangki berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke sebuah lori tangki.
“Dua lelaki yang berada di lokasi gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebuah kapal kargo jenis besi serta sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter.
“Selain 28,000 liter minyak diesel, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan turut dirampas.
“Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan kapal, kenderaan, minyak diesel dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM2,082,760,” jelasnya.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, bagi tempoh Januari hingga September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan sebanyak 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan 103 tangkapan.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh sama pula mencecah RM25,869,045.30.
Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan di negeri ini.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan barangan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.
Beliau turut menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan barangan kawalan.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengesan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang,” tambahnya.