KOTA KINABALU: Tindakan nekad kru sebuah bot pancung melarikan diri dengan terjun ke laut selepas menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia gagal menyelamatkan kira-kira 80 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam di perairan barat daya Pulau Mengalum, di sini, ketika bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjalankan rondaan berkala.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, kru bot terbabit bertindak memecut ke kawasan cetek sebelum meninggalkan bot dan meloloskan diri ke daratan.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa peralatan menyelam selain muatan ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Ujian awal terhadap hasil tangkapan turut memberikan keputusan positif, menunjukkan ikan berkenaan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bot pancung, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan itu disita dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM45,000,” katanya.
Mohd Khairulanuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan kemusnahan terhadap habitat dan ekosistem marin serta menjejaskan sumber perikanan.
Katanya, komuniti maritim dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Orang awam juga dimohon menyalurkan maklumat segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.
“Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau MERS 999 bagi kes kecemasan di laut,” katanya