KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Sipadan, malam ini.
Sambutan itu menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan menerusi pelbagai pengisian yang mengetengahkan kepelbagaian budaya, seni dan identiti masyarakat Malaysia.
Kemeriahan bermula menerusi acara Sambut Tamu “Warna-Warni Borneo” yang menampilkan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Borneo dalam menyambut ketibaan tetamu serta pengunjung.
Acara rasmi turut diserikan dengan upacara menerima Jalur Gemilang daripada Konvoi Kembara Merdeka Tahun 2026, sebelum Jalur Gemilang dinaikkan dengan iringan lagu Negaraku oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengunjung kemudiannya disajikan dengan Persembahan Khas Malaysia MADANI “Kesejahteraan Dinikmati” selama kira-kira 60 minit yang menggabungkan elemen muzik, nyanyian dan tarian.
Persembahan itu turut mengetengahkan kepelbagaian budaya Sabah, Sarawak dan Semenanjung, selain membawa mesej perpaduan serta keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Antara artis yang membuat persembahan termasuk Rey Guntabid, Azharina, Eylia & Mary Grace, Edmound Chain, D. Shariff Zainal, Isobahtos, Marsha Milan dan Datuk Francis Landong, selain penggiat seni tempatan yang lain.
Kemeriahan sambutan memuncak menerusi Lafaz Penyempurnaan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, diikuti acara memotong kek Hari Malaysia.
Acara memotong kek itu turut disertai Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Tidak kurang menarik, pengunjung turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah yang menawarkan 50 hadiah dalam lima pusingan.
Antara hadiah disediakan ialah barangan elektronik, Smart TV, smartwatch, baucar penginapan hotel, Apple Watch dan iPad, manakala hadiah utama merangkumi motosikal Honda BeAT, iPhone 17, iPad Air M4, iPad 11 inci dan Apple Watch Series 11.
Kehadiran ribuan pengunjung di SICC mencerminkan sambutan Hari Malaysia yang bukan sahaja berlangsung dalam suasana meriah, malah menjadi ruang untuk masyarakat meraikan kepelbagaian budaya serta memperkukuh semangat kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, selain menjadi wadah untuk rakyat meraikan semangat perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan budaya.