Bapa rogol anak kandung kena jel 15 tahun, 10 sebatan

LAHAD DATU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bekas pekerja kilang selepas dia mengaku bersalah merogol anak kandung perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun tiga bulan, Februari tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla Selag dan mensabitkan tertuduh atas pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan hari kedua namun tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan semalam. 

Mengikut pertuduhan, lelaki warga emas itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap anak kandungnya yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat sebuah ladang di Kunak kira-kira jam 11 malam pada Februari 2025.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sepanjang tempoh tahanannya.

Tertuduh juga diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.