TAWAU: Dua lelaki masing-masing dipenjara antara lima hingga tujuh hari serta didenda keseluruhan RM21,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan, bulan lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut memerintahkan kedua-dua tertuduh hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Tertuduh pertama, Sharane Sahar, 28, seorang kelindan lori, dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM10,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, kandungan alkohol dalam darahnya didapati sebanyak 61 miligram (mg) dalam 100 mililiter darah, melebihi had dibenarkan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu sebuah Perodua Myvi ditahan dalam operasi ‘Ops Mabuk’ yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan T2, Batu 1, Jalan Apas, kira-kira jam 1.10 pagi pada 16 Ogos lalu.
Dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam rayuannya, Sharane memohon hukuman ringan dengan alasan dia seorang anak yatim piatu yang menanggung adik-beradiknya, selain kes itu adalah kesalahan pertamanya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Sementara itu, tertuduh kedua, Arman Bone, 27, seorang pekerja hotel, dihukum penjara tujuh hari dan denda RM11,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan Arman hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Mengikut pertuduhan, kandungan alkohol dalam darah tertuduh adalah sebanyak 88 mg dalam 100 mililiter darah, melebihi had dibenarkan.
Berdasarkan fakta kes, Arman yang memandu sebuah Perodua Alza ditahan dalam operasi sama di kawasan T2, Batu 1, Jalan Apas, kira-kira jam 10 malam pada 15 Ogos lalu.
Dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam rayuannya, Arman memohon hukuman ringan dengan alasan tidak akan mengulangi kesalahan sama serta mempunyai dua orang anak untuk ditanggung.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.