Mahkamah tolak saman fitnah Albert Tei terhadap SMM

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menolak saman fitnah yang difailkan ahli perniagaan, Albert Tei terhadap Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), sebuah agensi kerajaan negeri yang menyelaras sektor perlombongan di Sabah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Monica Linsua, dalam keputusan pada 21 Ogos lalu, memutuskan Tei gagal membuktikan unsur-unsur fitnah dalam tuntutannya terhadap SMM.

Tei memfailkan saman itu pada Ogos tahun lalu selepas mendakwa kenyataan SMM mengaitkannya secara palsu dengan konspirasi untuk menjejaskan reputasi syarikat berkenaan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, selain dakwaan meminda dokumen.

Bagaimanapun, Monica berkata kenyataan yang dikeluarkan SMM, apabila dibaca secara keseluruhan, tidak membawa maksud bahawa Tei terbabit dalam kempen politik.

Menurutnya, persoalan utama dalam kes berkenaan adalah sama ada kenyataan bahawa Tei terlibat dalam “kempen lebih luas untuk merosakkan syarikat dan pegawainya” bersifat memfitnah.

“Terdapat perbezaan antara mengatakan bahawa dakwaan itu mungkin bermotifkan politik dengan mengatakan bahawa plaintif (Tei) terlibat dalam kempen politik,” katanya.

Hakim turut menjelaskan kenyataan SMM tidak secara jelas menyatakan Tei adalah sebahagian daripada kempen politik berkenaan.

Katanya, penggunaan perkataan seperti ‘boleh jadi’ dan ‘mungkin’, apabila dibaca berdasarkan konteks keseluruhan kenyataan, menunjukkan SMM menyatakan kepercayaan mengenai keadaan yang melatari dakwaan berkenaan.

Susulan keputusan itu, mahkamah turut memerintahkan Tei membayar kos berjumlah RM25,000 kepada SMM.

SMM diwakili peguam, Roger Chin, manakala Tei diwakili Chong Kian Ming.