KINABATANGAN: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah, pada jam 5.32 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa berkenaan dikesan pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur, dengan kedalaman 118 kilometer.
Menurut kenyataan itu, pusat gempa bumi berkenaan terletak kira-kira 34 kilometer barat daya dari Tongod, Sabah dan 223 kilometer barat laut dari Tarakan, Indonesia.
Bagaimanapun, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi berkenaan tidak membawa sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini berkaitan aktiviti gempa bumi melalui saluran rasmi MetMalaysia dan laman MyGempa.