KOTA KINABALU: Sebanyak 34 Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di Sabah menjadi sebahagian daripada jaringan gerakan kepenggunaan mahasiswa yang berperanan memperkukuh budaya kesukarelawanan dan membantu rakan yang memerlukan menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
Daripada jumlah itu, tujuh GPS di Sabah terlibat dalam pelaksanaan i-FB di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing bagi membantu menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, penglibatan mahasiswa menerusi inisiatif itu penting bagi menyuburkan semangat keprihatinan, empati dan amalan saling membantu dalam kalangan warga kampus.
“Sokongan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama mahasiswa, pihak institusi, sektor swasta dan rakan startegik KPDN dalam menggerakkan i-FB secara berterusan.
“Secara keseluruhan, terdapat 196 GPS di seluruh negara, dengan 56 daripadanya terlibat dalam pelaksanaan i-FB di IPT masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Advokasi Kepenggunaan dalam Aktivisme Belia dan Penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini, pada Khamis.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan penyerahan geran i-FB kepada GPS UiTM Sabah, selain menyaksikan penyerahan sumbangan bakul makanan daripada lapan operator dan rakan strategik KPDN kepada UiTM.
Armizan turut menyerahkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH KPDN kepada pengusaha kantin Kolej Manukan, UiTM Kota Kinabalu, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kebajikan mahasiswa.

Inisiatif i-FB berteraskan konsep 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan, dengan harapan bantuan makanan dapat disalurkan secara teratur kepada mahasiswa yang memerlukan agar mereka dapat memberikan tumpuan kepada pengajian.