KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dijadual menyertai Latihan Menembak Kompetensi Divisyen Kelima Infantri (5 DIV), Sabtu ini.
Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Razak Haron berkata, latihan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Tun Musa sebagai ketua negeri mengenai cara penggunaan senjata yang ada dalam pertahanan di Sabah.
“Tujuan kami memberikan sembah taklimat pada pagi ini adalah bagi menerangkan kepada Tun Musa berkenaan latihan menembak senjata bantuan dengan lebih kurang dalam tujuh ke lapan varian senjata daripada kaliber sederhana hingga kaliber yang besar akan digunakan dalam latihan tersebut.
“Kami rancangkan untuk Tun Musa beserta rombongan melaksanakan latihan menembak tersebut pada 8 Oktober 2026, bertempat di lapang sasar udara Kota Belud.
“Dengan pelaksanaan latihan menembak tersebut, akan memberi gambaran yang jelas kepada Tun Musa sebagai Ketua Negeri dan memberi pendedahan bagaimana tentera menggunakan peralatan yang ada dalam menjaga kepentingan dan pertahanan Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Dijangkakan seramai 45 orang akan menyertai latihan berkenaan melibatkan 30 orang anggota dan 15 orang daripada rombongan Istana Seri Kinabalu.
Hadir sama, Komander Artileri Divisyen 5 Div, Kolonel Hizamuddin Haris, Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton dan Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Khairul Shah Peri.