Gajah jantan ditemui mati di Sungai Kinabatangan, JHLS buat siasatan menyeluruh

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian seekor gajah jantan yang ditemukan di Sungai Kinabatangan, berhampiran Angco Jaya Plantation dan Lot 4, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya pada awalnya menerima laporan mengenai penemuan bangkai gajah di sungai berhampiran Pontian Plantation.

Katanya, pasukan Rapid Response Team (RRT) bersama Renjer Kehormat Hidupan Liar dari Sukau kemudian menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan bangkai berkenaan yang dipercayai telah hanyut mengikut arus sungai dari lokasi asal dilaporkan.

“Bangkai itu ditarik ke tebing sungai dengan bantuan jentera Angco Jaya Plantation bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan.

“Gajah itu dikenal pasti sebagai gajah jantan, berketinggian kira-kira enam kaki dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun.

“Berdasarkan keadaan bangkai, gajah berkenaan dipercayai telah mati kira-kira empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jafry berkata, pemeriksaan turut menemukan beberapa kecederaan pada bangkai gajah berkenaan, selain kedua-dua gadingnya didapati hilang.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung keadaan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian sebelum siasatan dan analisis saintifik lengkap diperoleh.

“Pada peringkat ini, kita tidak mahu membuat spekulasi mengenai keadaan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan gading atau punca kematian.

“Perkara ini memerlukan siasatan lanjut dan mesti disokong dengan bukti,”jelasnya.

Menurut Jafry, bedah siasat telah dijalankan JHLS pada 1 Oktober, manakala sampel organ dan kandungan perut gajah berkenaan turut diambil untuk analisis makmal.

“Pada peringkat ini, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan. Kita sedang menunggu keputusan makmal serta hasil lengkap bedah siasat.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan yang menyebabkan kehilangan gading,” ujar beliau.

Beliau berkata, JHLS turut mengambil keterangan daripada individu yang pertama kali melaporkan kejadian itu sebagai sebahagian daripada siasatan susulan.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian berkenaan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar.

Dalam pada itu, Jafry meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai pengetahuan mengenai kes ini diminta tampil dan melaporkannya kepada jabatan dengan segera.

“Kita perlu memberi ruang kepada Jabatan Hidupan Liar melengkapkan siasatan dan mendapatkan keputusan makmal. Jangan membuat spekulasi mengenai punca kematian sehingga hasil saintifik dan siasatan lengkap diperoleh,” katanya.