Dua rumah terbakar dalam kejadian kebakaran di Bongawan

BONGAWAN: Sebuah rumah dan sebuah rumah sewa musnah 100 peratus dalam kebakaran di Kampung Padang Pekan Bongawan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.41 tengah malam itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan BBP Papar dikejarkan ke lokasi sebelum tiba pada 12.56 tengah malam.

Ketua BBP Kimanis, PKPgB Nelson Ponji berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 50×20 kaki persegi dan sebuah rumah sewa jenis separuh kekal berukuran 20×30 kaki.

“Kedua-dua struktur terbakar 100 peratus dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

Operasi dilaporkan terkawal pada 1.42 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 3.10 pagi selepas kerja-kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa selesai serta tiada bahaya lain dikesan.