KOTA KINABALU: Pernah menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) selepas memperoleh keputusan cemerlang 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), kini graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Arnie Jaliusih mahu menggunakan peluang sebagai Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 5.0 untuk menyumbang kembali kepada negeri kelahirannya.
Arnie, 23 tahun berkata peluang menyertai Felo SMJ 5.0 merupakan satu pengalaman besar yang membuka ruang kepadanya untuk mengembangkan potensi diri selain memperoleh pendedahan dalam dunia pekerjaan.
Menurutnya, bantuan BKNS yang diterimanya sebelum ini banyak membantu memudahkan perjalanan pengajian di UMS sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur sebab ini merupakan salah satu peluang yang sangat besar bagi saya.
“Apa yang saya dapat, saya bukan sahaja simpan untuk diri saya sendiri.
“Saya cuba untuk berikan kembali kepada Sabah dan Felo SMJ ini merupakan salah satu peluang yang luas dan besar kepada saya untuk memberikan sumbangan kembali kepada negeri Sabah pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Felo Sabah Maju Jaya 5.0 di sini, pada Rabu.
Kata Arnie, beliau melihat keberanian dan keyakinan sebagai antara kunci penting dalam usaha keluar daripada zon selesa serta meneroka potensi diri.
Katanya, sikap terbuka untuk mempelajari perkara baharu turut mendorongnya untuk terus meningkatkan kemahiran dan kemampuan diri.
“Pada saya, saya hanya ada satu kunci iaitu keberanian dan keyakinan.
“Saya seorang yang mudah untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
“Jadi, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan potensi dan juga kemahiran yang ada dalam diri saya sebab saya percaya masih ada potensi sebenarnya yang belum saya nampak dalam diri saya,” ujarnya.
Menurut Arnie, penyertaan dalam program seperti Felo SMJ memberi peluang kepada anak muda untuk mencungkil potensi diri dengan memperoleh pengalaman serta pendedahan baharu.
Arnie turut menggalakkan anak muda Sabah yang berminat menyertai program berkenaan supaya berani mencuba dan sentiasa mengikuti perkembangan pengambilan Felo SMJ menerusi saluran rasmi program.
Katanya, proses pemilihan melibatkan beberapa peringkat termasuk penghantaran resume, temu duga secara dalam talian serta temu duga berkumpulan secara bersemuka sebelum calon dipilih.
Arnie yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Geografi di UMS dan bakal bergraduasi pada November ini, ditempatkan di Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.