KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu antara usaha KKM untuk menggalakkan pegawai perubatan melapor diri di kedua-dua negeri berkenaan.
Katanya, KKM juga menambah baik kaedah penempatan pegawai perubatan lantikan tetap melalui sistem e-Placement, termasuk penggunaan teknologi algoritma dalam menentukan penempatan.
“Selain itu, kita memberikan taklimat mengenai proses penempatan dan mengeluarkan keputusan penempatan lebih awal supaya mereka boleh membuat persediaan yang mencukupi sebelum melapor diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, di sini.
Menurut beliau, pegawai perubatan yang layak turut diberikan elaun pertukaran pada kadar 100 peratus merangkumi elaun makan, bayaran hotel dan tambang perjalanan.
“Semasa bertukar kembali ke wilayah asal, pegawai perubatan juga layak menerima elaun gangguan atau disturbance allowance dengan kadar sebulan gaji hakiki pegawai,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, KKM turut memberi merit tambahan kepada pegawai perubatan yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak dalam pertimbangan tawaran program latihan kepakaran serta cuti belajar.
“Jadi berbeza dengan persepsi mereka yang menyebutkan bahawa peluang untuk mereka membuat ijazah lanjutan itu terkesan apabila mereka berada di Sabah dan Sarawak,” katanya.