KOTA KINABALU: Penganugerahan kontrak oleh Shell kepada syarikat tempatan membuktikan agenda
kandungan tempatan Sabah semakin membuahkan hasil, khususnya dalam memperkukuh keupayaan
syarikat negeri dalam industri minyak dan gas.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kejayaan agenda kandungan tempatan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kontrak yang diterima syarikat Sabah semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaan mereka melaksanakan kerja bertaraf dunia.
Menurut beliau, penganugerahan kontrak yang melibatkan bidang operasi laut dalam yang kompleks
dan khusus menunjukkan keyakinan industri terhadap keupayaan syarikat tempatan yang semakin berkembang.
“Nilai sebenar kandungan tempatan diukur berdasarkan berapa banyak syarikat Sabah menjadi mampu melaksanakan kerja bertaraf dunia, berapa ramai rakyat Sabah memperoleh kemahiran bernilai tinggi dan berapa banyak nilai ekonomi jangka panjang kekal serta berkembang di Sabah,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Kontrak Shell Sabah di Plaza Shell, di sini.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, kerjasama strategik antara syarikat tempatan dengan
rakan berpengalaman penting bagi membolehkan pemindahan teknologi, kepakaran dan pengetahuan, sekali gus meningkatkan daya saing syarikat Sabah.
Katanya, syarikat penerima kontrak perlu menjadikan peluang berkenaan sebagai platform untuk membangunkan bakat tempatan dengan melatih jurutera dan juruteknik, menyediakan laluan kerjaya serta memberi peluang kepada anak Sabah terlibat dalam projek yang semakin kompleks dan bernilai tinggi.
“Matlamat kita ialah memastikan lebih ramai rakyat Sabah bukan sahaja bekerja dalam industri ini, tetapi pada masa hadapan mampu memimpin syarikat, mengurus projek besar, membangunkan teknologi serta membuat keputusan teknikal dan komersial,” katanya.
Masidi berkata Sabah kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam industri minyak dan gas, sebaliknya menjadi pemilik, penyumbang dan pemangkin yang membentuk masa depan industri berkenaan.
Beliau berkata kemajuan itu terhasil melalui kerjasama antara Kerajaan Sabah, PETRONAS, Shell, SMJ Energy, pemain industri tempatan serta pelbagai pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat Sabah terus meningkatkan standard dalam aspek sumber manusia, teknologi, keselamatan, tadbir urus dan kecemerlangan operasi.
Masidi berkata, aspirasi jangka panjang kerajaan adalah menjadikan Sabah sebagai pusat kepakaran, pelaburan, inovasi dan bakat bagi sektor tenaga, selain memastikan syarikat tempatan mampu bersaing bukan sahaja di Sabah tetapi di peringkat Malaysia dan antarabangsa.
Beliau berkata kontrak yang dianugerahkan hari ini bukan sekadar peluang perniagaan, malah menjadi langkah penting ke arah membina industri tenaga Sabah yang lebih kukuh, berkeupayaan tinggi dan berdaya saing di peringkat global.