KUDAT: Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kudat menjadi platform untuk memperkukuh kesepaduan parti komponen selain mendapatkan maklum balas pemimpin akar umbi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, konvensyen itu menghimpunkan pemimpin daripada enam parti komponen GRS bagi memperkukuh perjuangan bersama serta membincangkan pandangan yang boleh meningkatkan kekuatan gabungan berkenaan.
Menurutnya, penganjuran konvensyen itu juga memberi ruang kepada pemimpin di peringkat bawahan untuk menyuarakan pandangan dan maklum balas secara langsung.
“Walaupun kita mempunyai sistem sendiri untuk mendapatkan maklum balas daripada akar umbi, namun adalah baik jika semua pemimpin parti komponen dapat bersama-sama dalam konvensyen ini supaya mereka dapat meluahkan pandangan yang boleh membina kekuatan GRS.
“Ini khususnya dalam persediaan kita menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui sempena konvensyen berkenaan di sini, hari ini.
Masidi berkata, konvensyen itu merupakan penganjuran tahunan GRS, namun kali ini diadakan di luar Kota Kinabalu bagi memberi peluang kepada pemimpin dan ahli parti berkumpul di lokasi berbeza.
Beliau berkata, Kudat dipilih kerana mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagai ibu negeri pertama Sabah pada 1881.
Katanya, kehadiran kira-kira 3,000 peserta termasuk pemerhati turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat dan peniaga tempatan sepanjang berlangsungnya konvensyen itu.
Dalam pada itu, Masidi berkata, konvensyen berkenaan juga penting bagi memperkenalkan perubahan dalam struktur keanggotaan GRS susulan perkembangan politik sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Menurutnya, tiga parti iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah meninggalkan gabungan itu, manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai GRS sebagai parti komponen baharu.
Beliau berkata, perubahan berkenaan menjadikan konvensyen itu antara ruang penting untuk memperkenalkan secara rasmi keanggotaan baharu kepada ahli parti komponen lain, selain menyatukan hala tuju gabungan berkenaan.