GRS rangka strategi ‘3R’, sasar kemenangan lebih besar pada PRU16 – Armizan

KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggerakkan strategi 3R iaitu Retain, Regain dan Reinforce bagi memperkukuh kedudukan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendekatan itu bertujuan mengekalkan kerusi sedia ada, merampas semula kawasan yang berpotensi dimenangi serta memperluas pengaruh di kawasan lain.

Menurutnya, GRS perlu mempertahankan tujuh kerusi sedia ada selain merampas semula kawasan yang mempunyai asas sokongan kukuh berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

“Pada masa sama, kita perlu memperkukuh pendekatan dan strategi untuk memperluas kekuatan di kawasan lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Konvensyen GRS 2026 di Kudat, semalam.

Beliau berkata, kemenangan lebih banyak kerusi Parlimen penting bagi memperkukuh suara Sabah di peringkat nasional serta memastikan kestabilan Kerajaan Negeri tidak mudah digugat.

Katanya, perwakilan GRS yang lebih ramai dalam Kerajaan Persekutuan juga dapat meningkatkan keupayaan gabungan itu memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

Armizan berkata, pengalaman GRS dalam PRN Sabah lalu perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki kelemahan, mengelakkan kesilapan berulang dan memperkukuh persediaan menghadapi PRU16.

Menurutnya, walaupun GRS berjaya memenangi jumlah kerusi yang signifikan dan membentuk kerajaan, beberapa faktor pada saat kritikal menjejaskan prestasi gabungan itu.

Beliau berkata, semua parti komponen perlu mengutamakan kepentingan GRS berbanding kepentingan kumpulan atau individu bagi memastikan gabungan itu kekal kukuh.

“Kita mesti memastikan kepentingan parti GRS mendahului segala pertimbangan kumpulan dan individu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota gabungan supaya memelihara imej parti, melaksanakan manifesto yang ditawarkan kepada rakyat serta tidak membiarkan GRS tewas dalam perang persepsi.

Dalam pada itu, Armizan berkata, Konvensyen GRS yang julung kali diadakan di Kudat bertujuan menghimpunkan kepimpinan tertinggi dan akar umbi daripada enam parti komponen bagi memperkukuh kerjasama.

Menurutnya, konvensyen itu turut menjadi platform untuk menyelaraskan hala tuju gabungan serta membincangkan usaha memperkukuh kekuatan parti dan pelaksanaan agenda pembangunan negeri.

Katanya, antara tumpuan utama ialah menilai pencapaian Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, memantau pelaksanaan manifesto dan memperkemas usaha menjayakan SMJ 2.0.

Beliau berkata, maklum balas peserta menerusi survei yang disediakan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dan disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Armizan berharap konvensyen itu dapat menyatukan saf kepimpinan serta memperkukuh komitmen semua parti komponen untuk bekerja demi kepentingan rakyat, sekali gus memastikan GRS mampu meraih kemenangan lebih besar pada PRU16.