Ketua Menteri terima kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah baharu

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Zul Hadi, 57, dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 16 Oktober lalu, menggantikan Datuk Mohd Razali Wahab yang bersara wajib.

Sebelum pelantikan itu, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pertanian di Kementerian Ekonomi, dengan pengalaman selama 32 tahun dalam bidang ekonomi, kewangan serta dasar dan perancangan strategik.

Hajiji mengucapkan tahniah kepada Zul Hadi atas pelantikan itu dan berharap beliau dapat memperkukuh hubungan serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya membabitkan jabatan dan agensi Persekutuan di Sabah.

Beliau berkata, kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan penyelarasan dasar serta pelaksanaan program dan projek pembangunan berjalan lancar dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Hajiji turut berharap Zul Hadi dapat memainkan peranan berkesan sebagai penghubung antara kedua-dua kerajaan bagi mempertingkatkan koordinasi, memperkemas pelaksanaan agenda pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus diberi keutamaan.