TAWAU: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya terbabas sebelum melanggar pokok di Bulatan Airport Lama, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun dilaporkan tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum tujuh anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok.
“Seorang mangsa perempuan dewasa didapati tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans KKM,” katanya
Jemishin berkata, operasi yang turut membabitkan bantuan polis dan KKM itu ditamatkan pada jam 3.31 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.