BEAUFORT: Tiga pekerja sebuah ladang kelapa sawit ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam tiga tangkapan berasingan di kawasan Lumadan, di sini, pada 10 November lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champiun Piuh berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerusi operasi penguatkuasaan pada hari berkenaan.
Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 6.30 petang membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun yang didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
Tangkapan kedua pula dilakukan kira-kira jam 6.40 petang membabitkan seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun yang turut didapati positif Methamphetamine.
Sementara itu, tangkapan ketiga dilakukan kira-kira jam 6.50 petang membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine.
“Ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, IPD Beaufort akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.