Mengamuk tak dapat duit, lelaki positif syabu ditahan

BEAUFORT: Tindakan seorang lelaki mengamuk, mengugut ahli keluarga dan menampar anak saudaranya selepas berang tidak diberikan wang oleh ibunya membawa padah apabila dia ditahan polis dan didapati positif dadah.

Dalam kejadian itu, suspek tempatan berusia 25 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort sebelum dibawa ke pejabat BSJND untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champiun Piuh berkata, hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai seorang penagih dadah jenis syabu.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah berbahaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek berang selepas ibunya enggan memberikan wang, sebelum bertindak agresif dengan mengugut ahli keluarga serta menampar anak saudaranya.

Menurutnya, IPD Beaufort akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah berkenaan.

Katanya, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan awam terus terpelihara.