Sabah Electricity sahkan insiden renjatan elektrik ragut tiga nyawa anggota polis di Weston

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) mengesahkan berlaku insiden renjatan elektrik di Weston, Beaufort yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

SE dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat utiliti itu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM atas kehilangan tersebut.

“Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM dan turut merasa dukacita atas kehilangan tersebut,” katanya.

Sejurus menerima makluman mengenai kejadian, pasukan teknikal Sabah Electricity digerakkan ke lokasi bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut termasuk membantu siasatan yang sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Sabah Electricity turut memaklumkan, setakat ini punca insiden renjatan elektrik itu masih dalam siasatan.

“Pada masa ini, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Sehubungan itu, Sabah Electricity memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” jelasnya.

Sabah Electricity menegaskan komitmennya untuk terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai.

Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.