KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera susulan tragedi renjatan elektrik yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Beaufort, Sabah pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain memastikan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan bagi mengelakkan tragedi sama daripada berulang.
“Saya telah meminta agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis ini.
“Langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya menerusi satu hantaran dalam laman rasmi Facebook miliknya.
Anwar berkata, beliau berasa dukacita menerima berita pemergian tiga anggota PDRM yang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bertugas di Beaufort.
“Dukacita menerima berita pemergian tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam satu tragedi dipercayai terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah hari ini,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM atas kehilangan yang disifatkan sebagai satu pengorbanan besar demi negara.
“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” tambahnya.
Semalam, satu insiden maut melibatkan tiga anggota polis terkena renjatan elektrik di Westorn, Beaufort.