Tiga lelaki dicekup curi motosikal di Penampang

PENAMPANG: Tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan pasukan polis pada 10 Ogos lalu.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan selepas pihaknya mengesan kegiatan kecurian motosikal yang berlaku di sekitar daerah itu.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah motosikal serta anak kunci motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil curian.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda.

“Polis akan terus mempergiatkan usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kenderaan dikunci sempurna dan menggunakan kunci keselamatan tambahan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemilik kenderaan supaya meletakkan kenderaan di kawasan terang dan selamat.

“Orang ramai juga diminta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu, kenderaan atau aktiviti yang mencurigakan,” katanya.