SEMPORNA: Sebuah lori pemungut sampah milik Majlis Daerah Semporna terbakar 100 peratus dalam kejadian di bulatan Lepa, Jalan Semporna-Kunak-Tawau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.28 malam, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Zainal Sinsin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi pada jam 8.42 malam dan mendapati sebuah lori pemungut sampah milik Majlis Daerah Semporna terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos reel dengan sumber air daripada tangki jentera bomba,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selepas memastikan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.18 malam.