KOTA KINABALU: Lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas 2026 yang bakal berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), di sini.
Karnival yang berlangsung pada 22 dan 23 Ogos, dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu menghimpunkan lebih 30 majikan terkemuka industri minyak dan gas yang menawarkan peluang kerjaya dengan gaji sehingga RM12,000.

Antara syarikat yang dijangka mengambil bahagian termasuk Shell dan ConocoPhillips, selain pelbagai syarikat lain dalam sektor minyak dan gas.

Para pencari kerja berpeluang menghadiri sesi temu duga secara terus atau walk-in interview dengan majikan yang mengambil bahagian, sekali gus membuka ruang kepada mereka mendapatkan pekerjaan dalam industri berkenaan.
Selain sesi temu duga, karnival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti termasuk Pocket Talk, khidmat nasihat kerjaya dan pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), serta cabutan bertuah.

Pengunjung terawal turut berpeluang menerima e-dompet Touch ‘n Go secara percuma, dengan tawaran terhad kepada 200 pengunjung pertama.
Pencari kerja yang ingin hadir dinasihatkan memastikan profil MYFutureJobs dikemas kini, membawa resume terkini serta bersedia untuk menghadiri sesi temu duga bersama majikan.

Karnival berkenaan menjadi antara platform penting bagi menghubungkan pencari kerja, khususnya rakyat Sabah, dengan majikan dalam sektor minyak dan gas yang menawarkan peluang pekerjaan secara langsung.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi portal MYFutureJobs https://careerfair.myfuturejobs.gov.my/careerfair/socsocareerfair/daftarjobseeker.php?id=NjYxMA== sebelum menghadiri karnival berkenaan.