Hormat Menghormati Kunci Keharmonian – T.C Goh

KOTA KINABALU : Sikap saling menghormati antara masyarakat berbeza agama dan kepercayaan menjadi asas penting dalam mengekalkan keharmonian serta keamanan. 


Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T. C. Goh berkata, masyarakat Sabah menunjukkan perbezaan agama dan kepercayaan bukan penghalang untuk rakyat hidup bersama dalam suasana aman.


“Sifat saling menghormati antara satu sama lain adalah asas untuk membina masyarakat harmoni dan juga negara yang aman dan damai. 


“Masyarakat yang berlainan agama tidak perlu mengetepikan pegangan masing-masing ketika menyertai sesuatu program, sebaliknya menghormati perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.


“Sikap ini penting kerana keharmonian masyarakat bukan hanya dibentuk melalui sesuatu upacara, tetapi turut diterjemahkan menerusi kehidupan seharian,” katanya ketika berucap semasa merasmikan program Doa Sayangi Malaysia di Tokong Peak Nam Toong di sini, pada Sabtu. 


Menurut beliau, program anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) itu menjadi antara wadah yang memperlihatkan semangat saling menghormati tersebut.


Beliau berharap semangat saling menghormati terus dipertahankan agar Sabah kekal aman dan sejahtera tanpa bencana, peperangan atau perkara yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.


Hadir sama, Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison Lo, Pengerusi Persatuan Agama Hindu Malaysia Cawangan Majlis Sabah, Datuk Dr G. Mohan A/L Gopal Naidoo dan Presiden Persatuan Bumiputera Kristian Sabah (PBKS), Reverend Jellin Wandak.