Polis tahan tiga lelaki disyaki curi tayar kereta di Beaufort

BEAUFORT: Tiga lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian tayar kereta di Kampung Bingkul dan Kampung Binunuk, di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champiun Piuh berkata, penahanan suspek dilakukan susulan tindakan pantas anggota kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Menurutnya, seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kecurian tiga tayar bersama rim di Kampung Bingkul ditahan di kawasan tempat letak kereta Bandar Minggo, Beaufort.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada suspek, polis kemudian berjaya menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian tayar yang berlaku di Kampung Binunuk, Beaufort,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Champiun berkata, polis kini sedang berusaha mendapatkan semula barang kes selain meneruskan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tindakan pantas pasukan MPV IPD Beaufort dalam mengesan dan menahan suspek membuktikan komitmen polis dalam membanteras kegiatan jenayah harta benda di daerah berkenaan.

“IPD Beaufort tidak akan memberi ruang kepada mana-mana individu untuk melakukan kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap keselamatan harta benda masing-masing serta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu polis membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian harta benda yang berlaku di kawasan kampung dan perumahan,” katanya.