Wanita ditahan disyaki terlibat penipuan jualan emas tidak wujud

BEAUFORT: Gara-gara menyerahkan kad ATM bersama kata laluan kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Ahcai’ atas alasan membantu urusan pinjaman, seorang wanita kini ditahan polis bagi membantu siasatan kes penipuan jualan emas tidak wujud menerusi Instagram.

Wanita terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu selepas akaun bank miliknya digunakan sebagai medium transaksi penipuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champiun Piuh berkata, suspek ditahan menerusi Ops Kesan Khas 1/2026 – Daerah Beaufort selepas polis mengesan kaitannya sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam transaksi penipuan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku pernah menyerahkan kad ATM berserta kata laluan kepada lelaki dikenali sebagai ‘Ahcai’.

“Suspek mendakwa menyerahkan kad ATM dan kata laluan itu atas alasan membantu urusan kelulusan pinjaman.

“Bagaimanapun, suspek hanya menyedari akaun bank miliknya disekat pihak bank selepas transaksi berkenaan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Champiun berkata, suspek turut mendakwa tidak mengetahui akaun banknya digunakan sebagai medium bagi aktiviti penipuan.

Katanya, kejadian itu seharusnya menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan akses akaun bank kepada individu lain.

“Pemilik akaun perlu menyedari bahawa menyerahkan kad ATM, nombor PIN atau akses perbankan kepada pihak lain boleh membawa implikasi serius, termasuk berdepan tindakan undang-undang sekiranya akaun tersebut disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menyebabkan akaun disekat, malah pemiliknya turut terheret dalam siasatan sekiranya akaun berkenaan digunakan untuk menerima atau memindahkan wang hasil kegiatan jenayah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut akan dijalankan pihak polis,” katanya

Dalam pada itu, Champiun menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyerahkan kad ATM, nombor PIN, kata laluan perbankan atau sebarang akses akaun bank kepada mana-mana individu, termasuk dengan alasan urusan pinjaman atau bantuan kewangan.

“Jangan gadaikan keselamatan akaun sendiri kerana janji pinjaman atau keuntungan. Satu penyerahan akses boleh membawa padah yang lebih besar,” katanya.