KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah akan membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said yang didakwa menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati dan kitab Bible secara tidak wajar.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Peto Galim berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap ucapan berkenaan.
Beliau berkata, tindakan undang-undang juga wajar diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana peruntukan undang-undang.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya ucapan Noorazli dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) dengan cara yang tidak wajar.
“Perbuatan itu bukan sahaja kurang ajar dan miskin adab, malah langsung tidak sensitif terhadap masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Peto, kenyataan berkenaan tidak mencerminkan kematangan yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, insiden itu turut menggambarkan bagaimana politik perkauman dan agama yang keterlaluan boleh menyebabkan seseorang hilang rasa hormat terhadap penganut agama lain.
“Jangan apabila masyarakat sudah marah dan mengecam, barulah masing-masing mahu memberi penjelasan atau memohon maaf.
“Bukan sudah terhantuk baru tengadah. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.
Peto berkata, agama tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka politik atau modal meraih sokongan.
Katanya, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibina selama ini tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana mahu mendapatkan sorakan atau laba politik sementara.
“KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis berhubung insiden ini dan menggesa pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan.
“Tindakan selaras peruntukan undang-undang wajar diambil agar insiden sebegini tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.