TAWAU: Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki terbabit dengan kes rogol membabitkan gadis berusia 19 tahun di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, Selasa lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 26 tahun itu bermula esok hingga 25 September ini dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas membenarkan permohonan polis.
Suspek ditahan kira-kira jam 10 malam tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, susulan laporan polis dibuat mangsa pada jam 8.20 malam hari yang sama.
Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Voon Yu Wei.
Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam, 15 September lalu selepas mangsa pulang ke rumahnya sebelum mendapati pintu rumahnya tertutup dan sukar dibuka berikutan mengalami masalah.
Dia kemudian menghubungi abangnya untuk mendapatkan bantuan namun abangnya masih belum pulang ketika itu menyebabkan mangsa menghubungi suspek yang juga jirannya untuk meminta bantuan.
Tidak lama selepas itu, suspek datang ke kediaman mangsa dan membantu membuka pintu rumah berkenaan.
Mangsa seterusnya membenarkan suspek masuk ke rumah selepas meminta lelaki itu membantu membaiki telefon bimbitnya yang mengalami masalah.
Suspek berada di ruang tamu dan cuba membaiki telefon bimbit berkenaan namun gagal sebelum meminta mangsa mengunci pintu rumah.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa dikatakan menuruti permintaan itu sebelum suspek bertindak manarik tangan mangsa lalu membawanya ke bilik tidur sebelum suspek bertindak merogolnya tanpa kerelaan mangsa.
Selepas kejadian, suspek dikatakan sempat mengarahkan mangsa membersihkan diri sebelum meninggalkan rumah berkenaan dan kembali ke kediamannya di unit tingkat atas blok sama.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.