MINDET, Jabatan Penjara bincang kerjasama bantu bekas penghuni penjara jadi usahawan – Ewon

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan mengadakan perbincangan susulan dengan Jabatan Penjara Malaysia cawangan Sabah bagi mengenal pasti bentuk kerjasama untuk membantu bekas penghuni penjara mendapatkan pekerjaan atau menjadi usahawan.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama itu boleh merangkumi kursus kemahiran yang diperlukan peserta program pemulihan serta bantuan susulan kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan selepas dibebaskan.

“Saya mahu melihat bagaimana MINDET boleh bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia. Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan komuniti usahawan melalui kerjasama ini.

“Saya percaya setiap orang memerlukan peluang. Jika MyPride memberi peluang kedua kepada mereka, kementerian juga wajar menjadi sebahagian daripada usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program MyPride Fest & Fair Zon Sabah Tahun 2026 di ITCC Shopping Mall, di sini, hari ini.

Inisiatif ini bertujuan mempamerkan dan memasarkan produk-produk yang dibangunkan di tujuh buah institusi penjara dari seluruh Sabah.

Ewon berkata, penglibatan sebuah syarikat swasta yang menyediakan pekerjaan dalam penghasilan tilam dan bantal kepada individu yang dilatih serta dibimbing oleh Jabatan Penjara Malaysia merupakan contoh kerjasama yang baik.

“Saya juga tahu ada perusahaan tempatan Sabah termasuk yang beroperasi di KKIP juga mengambil pekerja daripada program bimbingan di penjara.

“Saya akan memastikan MINDET dapat bekerjasama lebih baik dengan Jabatan Penjara Malaysia Cawangan Sabah bagi membangunkan program keusahawanan dan kerjaya seperti ini,” katanya.

Katanya, lebih banyak pihak industri perlu tampil memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang telah menamatkan hukuman dan mahu membina kehidupan baharu.

“Apabila seseorang keluar dari penjara, keluarga, masyarakat dan pihak industri perlu memberi mereka peluang. Kita akan mengadakan perbincangan susulan untuk mengenal pasti bagaimana kementerian boleh menyokong inisiatif MyPride,” katanya.

Dalam ucapannya, Ewon berkata latihan kemahiran yang diberikan kepada peserta program pemulihan perlu sesuai dengan keperluan pekerjaan dan peluang ekonomi di Sabah.

Beliau berkata, peserta juga boleh didedahkan kepada asas perniagaan termasuk pengiraan kos, kawalan kualiti, pembungkusan dan pemasaran supaya kemahiran yang diperoleh dapat membantu mereka menjana pendapatan selepas kembali kepada masyarakat.

“Saya percaya, dengan bimbingan, sokongan dan peluang yang diberikan, para peserta yang dilatih dalam kawasan penjara bolej menjadi usahawan ataupun pekerja kepada usahawan-usahawan yang berminat mengambil mereka.