Belanjawan 2027: KPDN mohon peruntukan PJRM ditambah

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) ditambah menerusi Belanjawan 2027 bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tambahan peruntukan itu penting bagi memastikan program berkenaan dapat diteruskan secara meluas, terutama ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

Katanya, PJRM antara inisiatif kerajaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat menerusi penawaran barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

“Kita mengharapkan dan memohon kepada Kementerian Kewangan supaya peruntukan dapat dipertimbangkan dan ditambah untuk tahun 2027 kerana ini merupakan satu program inisiatif kos sara hidup yang secara langsung sampai kepada rakyat.

“Rakyat kita boleh memanfaatkannya secara bersasar dan secara langsung di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar, di sini, hari ini.

PJRM diperkenalkan sebagai inisiatif tetap kerajaan pada 2024 dan kini dilaksanakan secara bulanan di seluruh negara dengan sasaran minimum tiga kali sebulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan zon Wilayah Persekutuan.

Sehingga 23 September lalu, program itu merekodkan lebih 81.45 juta transaksi sejak 2023, termasuk lebih 31.84 juta transaksi bagi tempoh 1 Januari hingga 23 September tahun ini.

Armizan berkata, pelaksanaan program berkenaan terus diperlukan susulan peningkatan kos barangan yang dipengaruhi pelbagai faktor ekonomi global.

Menurutnya, konflik di Asia Barat turut memberi tekanan kepada kos penting termasuk bahan api yang akhirnya boleh memberi kesan kepada harga barangan dan bahan binaan.

“Bukan hanya kerajaan kita tetapi seluruh negara sekarang sedang berhadapan dengan salah satu lagi cabaran besar lantaran konflik di Asia Barat yang telah menyebabkan kenaikan kos-kos penting.

“Contohnya bahan api yang memberi kesan kepada harga barang, termasuk bahan binaan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan turut berdepan cabaran fiskal, namun berharap inisiatif kos sara hidup yang memberi impak besar dan dilaksanakan secara bersasar dapat diteruskan.

Sementara itu, katanya, KPDN akan memperkenalkan pelekat khas yang memaparkan kod QR takwim PJRM di lokasi tumpuan awam bermula 1 Oktober ini.

“Pelekat itu akan ditempatkan di rumah ibadat, premis kerajaan dan stesen bas, tertakluk kepada permintaan serta persetujuan pemilik premis.

“Ini bagi memudahkan orang ramai menyemak tarikh dan lokasi jualan PJRM yang berlangsung berhampiran mereka,” katanya.

Armizan berkata, KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan PJRM bagi memastikan manfaat program berkenaan sampai kepada lebih ramai rakyat secara berkesan.