Tiga lokasi banjir, 30 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Kompleks Sukan Penampang

PENAMPANG: Seramai 30 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang dalam tiga kejadian banjir berasingan di daerah ini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan berkata, tiga lokasi terbabit ialah kawasan belakang Loji Rawatan Air Kasigui, Kampung Penampang Proper dan Kampung Kibabaig.

“Pasukan bomba berjaya memindahkan kesemua mangsa yang terjejas ke PPS Kompleks Sukan Penampang selepas mendapati mereka memerlukan bantuan untuk keluar dari kawasan banjir,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.

Dalam kejadian pertama di belakang Loji Rawatan Air Kasigui, seramai 14 mangsa dipindahkan selepas pasukan BBP Penampang menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 malam.

“Pasukan bomba tiba di lokasi tiga minit kemudian dan mendapati kesemua mangsa terjejas akibat banjir sebelum berjaya mengeluarkan mereka pada jam 11 malam.

“Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, enam wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan,” jelasnya.

Operasi yang diketuai PBK I Benny Lim itu membabitkan lapan anggota BBP Penampang dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebelum ditamatkan pada jam 11.45 malam.

Sementara itu, dalam kejadian kedua di Kampung Penampang Proper, 10 mangsa dipindahkan selepas banjir menjejaskan kawasan berkenaan.

BBP Penampang menerima panggilan pada jam 10.40 malam dan tiba di lokasi tiga minit kemudian sebelum berjaya memindahkan kesemua mangsa ke PPS Kompleks Sukan Penampang pada jam 11.10 malam.

“Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

“Operasi diketuai PBK II Mohd Firdaus Sunsai itu membabitkan tiga anggota menggunakan aset VIGO/BOT NADMA dan tamat pada jam 11.50 malam selepas semua mangsa disahkan selamat,” ujar beliau.

Dalam kejadian ketiga pula, enam mangsa dipindahkan selepas banjir melanda Kampung Kibabaig.

Pasukan BBP Penampang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada awal pagi sebelum bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Kesemua mangsa, terdiri daripada empat lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, berjaya dikeluarkan dari kawasan terjejas dan dipindahkan ke PPS Kompleks Sukan Penampang,” tambahnya.

Operasi ditamatkan selepas pihak bomba memastikan kesemua mangsa selamat dan tiada lagi mangsa memerlukan bantuan pemindahan.

Ketiga-tiga operasi berkenaan melibatkan anggota BBP Penampang dan kesemua mangsa yang dipindahkan ditempatkan di PPS Kompleks Sukan Penampang.